Manuskrip Tulisan Tangan Khatib Haji Wan Abdullah berkenaan Kedatangan Sidi Azhari (Tariqat Ahmadiah) ke Kelantan

|

(Manuskrip asal dalam tulisan jawi ada tersimpan di Arkib Negara No. Penerimaan 2011/0013684W di bawah tajuk “SEJARAH PERKEMBANGAN TARIQAT AHMADIAH DI KELANTAN. Ia diserah oleh Nik Abdul Rahman Bin Nik Mustapha kepada pihak Arkib Negara untuk di pulihara kerana kondisi kertas manuskrip semakin teruk. Manuskrip itu telah disalin maksudnya oleh Haji Nik Mustapha Bin Khatib Haji Nik Abdul Rahman)

(1)[1]

Pada malam Ahad tiga hari Rabiul-Akhir, sahaya Al-Haj Abdullah[2]  terima Tariqat Al-Ahmadiah pada Syaikhuna Al-A’alim Al-A’amil As-Syeikh Al-Wara’ Ahmad/Muhammad Al-Azhari yang diperanakkan di Shai’idi sepupu Syeikh Ismail Al-Hamidi yang menghasyiah atas Kufrawi [3], ia mengambil Tariqat Al-Ahmadiah daripada As-Syeikh Sahibul-Karamaat Muhammad Ad-Dandarawi ibnu Ahmad (bermula Dandarayah nama negerinya iaitu empat hari pelayaran daripada Mesir tetapi ia muttasil[4] dengan Nil) –Taqrir Ahmad Al-Azhari – yang di Madinatur-Rasul ia mengambil daripada Syeikh ….. wa[5] Syeikh Ibrahim Ar- Rasyidi , ia mengambil daripada Al-Ustaz Al-A’zham Sidi Ahmad bin Idris, ia mengambil daripada Nabi s.a.w dengan wasitah[6] Nabi Khidir satu kali dan dengan ketiadaan wasitah . Maka adalah ia mentalqinkan hamba At-Tariqah Al-Mazkurah[7] di dalam Negeri Kelantan daerah rumah Al-Haj Encik Yusof bin Encik Wan pada 1321 dengan suruhan daripada As-Syeikh Muhammad Ad-Dandarawi masuk ke negeri jawi kerana mengajar Tariqah Al-Mazkurah. Maka turun ia serta isterinya ke Negeri Kelantan, maka pada masa As-Syeikh Muhammad suruh itu di dalam Negeri Jeddah kerana As-Syeikh buat masjid di Jeddah dan Ahmad/Muhammad Al-Azhari pun sama-samanya, maka tatkala lepas Maghrib As-Syeikh Muhammad suruh syaikhuna Ahmad/Muhammad Al-Azhari turun ke jawi esok hari jua. Tatkala cerah ia pun turunlah sama-sama orang Kelantan bila ta’wil[8] dan pada tahun sahaya terima daripadanya itu ia masuk Tariqat Al-Mazkurah sudah 24 tahun mengkhidmatkan Dandarawi Al-Mazkur dan ia ajarkan hamba tiga kali zikir Al-Ahmadiah dan sahaya ikutkan dia di dalam majlis yang satu dan ajar muraqabah iaitu Syaikhuna suruh perhamba hadir sifat As-Syaikh Muhammad Ad-Dandarawi kemudian apabila nampak rupanya maka kita minta daripadanya di dalam hati kita hendak bertemu dengan As-Syeikh Ibrahim Ar-Rasyidi kemudian apabila Nampak Ibrahim Al-Mazkur minta daripadanya dengan hati hendak bertemu dengan As-Sayyed Ahmad bin Idris kemudian apabila nampak rupanya minta daripadanya hendak berjumpa dengan Nabi s.a.w kemudian dihadir di dalam hati akan rupanya s.a.w kemudian apabila nampak rupanya maka minta daripadanya s.a.w bahawa dengan kemegahannya bahawa dibuka pintu hati kita. Inilah talqinnya kepada hamba muraqabah itu ba’da Al-Amaghrib ila Al-I’sya’ [9] wa Subhi ila Thulu’ As-Syams[10]

(2)

Dan adalah As-Syeikh Ahmad Al-Azhari itu Sahibul-Ilmi yang zahir dan batin , ia mengambil ilmu zahir daripada As-Syeikh Al-Anbabi Mufti Mesir dan beberapa ulama yang besar-besar di dalam masjid Al-Azhar. Adalah rupanya hitam manis terbanyak hitam atas putih lagi berjanggut dan sedikit tali tudungnya lagi gemuk sedikit tiada sangat banyak gemuknya tiada sangat tingginya bahkan pertengahan dan katanya tiada aku bermuqim yang lama dalam Mekah bahkan sebulan dua tiap-tiap tahun hanya terbanyak bermuqimnya di Madinah Ar-Rasul dan katanya pula tatkala hamba hendak terima daripadanya Tariqat Al-Mazkurah  aku ini ……… daripada As-Syaikh Muhammad Ad-Dandarawi bukan semata-mata daripada aku. Dan As-Syaikh Muhammad Ad-Dandarawi itu bab As-Syeikh Ar-Rasyidi dan Ar-Rasyidi itu bab As-Sayyed Ahmad bin Idris dan adalah As-Syeikh itu tiada membanyakkan kalam sia-sia melainkan menghikayatkan ahwal auliya’ Allah dan menghikayatkan ahwal Ibrahim Ar-Rasyidi dan memujikan dia yang bersangatan dan tiada ia mengejikan orang-orang bahkan membanyakkan menghikayatkan tersebut itu dan menghikayatkan ahwal As-Sayyed Ahmad bin Idris.

Dan adalah sahaya dahulu daripada terima daripadanya itu sudah sahaya terima Tariqat Ahmadiah itu daripada As-Syeikh Wan Ali Kutan di dalam Negeri Mekah Daerah Shuaib Ali dan Tariqat Syattariah. Hamba pergi kepada Syaikhuna pada kali yang keduanya katanya : Fi baitika la tatruk al-muraqabah[11]


[1] Salinan dari salinan jawi yang dibuat oleh Haji Nik Mustapha B Hj Nik Abd Rahman B Hj Wan Abdullah

[2] Haji Wan Abdullah B Hj Wan Abd Samad , anak keempat Tok Tabal, terkenal sebagai Haji Nik Lah Tok Khatib kerana pernah menjawat Imam Besar Masjid Muhammadi KB

[3] menghasyiah atas Kufrawi – menghurai atas huraian kitab bernama Kufrawi

[4] Bersambung dengan Sungai Nil

[5] dan

[6] perantaraan

[7] tersebut

[8] Tanpa dolak-dalik/tangguh

[9] Selepas Mahgrib hingga Isya

[10] Dan selepas Subuh hingga terbit matahari

[11] Dirumah mu, janganlah sekali-kali meninggalkan muraqabh