Kertas Kerja Cadangan Mengadakan Pakatan Keluarga Tuan Tabal 1975

|

(Kertas Kerja ini di buat atas nasihat dan galakan daripada Ustaz Haji Nik Muhammad Mahyuddin Musa, kepada anak saudaranya, Nik Abdul Aziz Haji Nik Hassan dan ia telah ditaip dalam tulisan jawi atas 3 lembar kertas)

Syukur, Alhamdulillah sempena dengan Hari Raya Aidil Adha yang mulia ini (p:1975), atas pengesyoran Ustaz Haji Nik Muhammad Mahyuddin Musa, dapat kita pada pertama kalinya di dalam sejarah hidup kita, bersama-sama berada di sini , bermuafakat untuk merintiskan ke arah suatu kata sepakat, bagi memikul tugas menggali dan meneroka sejarah lampau. Sejarah nenek moyang kita yang saya cadangkan  dari segi alam pemikiran, hendaklah bermula daripada seorang ulamak yang seringkali mengenalkan dirinya dengan nama Al-Faqir Abdul Samad bin Muhammad Saleh al-Jawi al-Kelantani. Manakala masyarakat Kelantan pula pada umumnya mengenali ulamak ini dengan nama gelarannya iaitu Tuan Tabal, justeru asal-usul beliau daripada ‘Tabal’ yang kini terletak di dalam negeri Siam.

Peri pentingnya ulamak ini diungkit kembali ialah untuk mengkabarkan kepada cucu cicitnya kini yang merata, supaya mengetahui hakikat perjuangan nenek moyang mereka, semoga dapat menjadi panduan di dalam kehidupan mereka di masa hadapan. Di atas asas kesedaran dan keinsafan inilah, lahir pemikiran untuk mengadakan suatu pakatan secara tidak rasmi yang diharap akan dianggotai oleh cucu cicit Tuan Tabal.

Mungkin akan timbul pertanyaan di dalam pemikiran masing-masing, kenapa Tuan Tabal dicadangkan sebagai titik permulaan penulisan sejarah atau pemikiran Islam di dalam sejarah keturunan kita?. Kenapa tidak bermula daripada sejarah nenek moyang kita yang lebih awal lagi?. Sebagaimana yang kita semua maklum sejarah sesuatu negara atau bangsa mengikut pengertian falsafah sejarah selalu bermula dengan sesuatu tokoh atau sesuatu peristiwa yang gemilang, yang mana hakikat kalbu daripada sesuatu tokoh atau sesuatu peristiwa itu, dapat memberi nafas dan cahaya kepada kebudayaan bangsa dan negara itu.  Demikianlah juga perihal sejarah keturunan mestilah bermula dengan sejarah nenek moyang mereka yang benar-benar dapat memberi faedah kepada kehidupan keturunan-keturunan itu di masa kini dan juga di masa hadapan.

Perihal hakikat sejarah Tuan Tabal dapat memberi faedah kepada kehidupan kita di masa kini dan keturunan-keturunannya yang akan datang dapat dilihat daripada pengertian kandungan kitab-kitab karangannya seperti “Bab Harap”, “Munabbih Ahl al-Awbah fi Bayan at-Taubah”, “Bi Kifayah al-A’wam”, “Munabbih al-Ghafilin”, “Minhah al-Qarib”, dan “Bidayah at-Ta’lim” yang pada asas keseluruhannya membicarakan doktorin dan method tasawuf perihal hubungan insan, alam semesta dengan kudrat Allah yang maha agung. Daripada pengertian kandungan keseluruhan kitab-kitabnya ini menambangkan(?) bahawa sedikit sebanyak ada dihirup oleh falsafah as-Syeikh al-Akbar Muhyiddin Ibnu Arabi iaitu pencipta dan pendukung konsep ‘Wahdatul Wujud’ di abad yang ke-13. Pati sari daripada tulisan-tulisan Tuan Tabal juga pada pengertiannya menampakkan ada unsur-unsur penyatuan di antara ilmu ihsan (tasawuf) dengan ilmu fekah (syariah), demi mengelakkan perpecahan ulamak tasawuf denga ulamak fekah, yang mana pernah timbul perpecahannya di dalam sejarah Islam, justeru melihat kedua-dua ilmu itu daripada sudut-sudut yang berbeza. Jelas ketara dengan penghuraian yang serba ringkas di atas ini menampakkan Tuan Tabal ialah tokoh keilmuan dalam konteks sejarah ulamak-ulamak Kelantan pada abad yang ke-19, yang menganjurkan manusia supaya mempersoalkan hakikat diri masing-masing yang asal, demi menimbulkan kesedaran dan keinsafan akan keafiatan(?) diri andai kata diiktibarkan diri dengan dengan wujud yang hakikat.

Apakah pusaka mutiara keilmuan nenek moyang kita ini hendak kita abaikan, justeru menganggapnya tidak sesuai lagi dengan pembangunan dunia ini?. Kalau ditilik kepada perkembangan sejarah insan di dunia ini, jatuh runtuhnya sesuatu bangsa dan keturunan itu ialah kerana mengenepikan keagungan dan kemurnian sejarah silam, sehingga timbulnya perkumpulan-perkumpulan keluarga yang lebih kecil di antara mereka itu. Apakah kita dan keturunan kita yang semakin hari semakin berasingan dan berjauhan perlu mengikuti jejak langkah itu, justeru ketiadaan sesuatu titik pertemuan di dalam lakonan hidup hari-hari? Oleh yang demikian,  marilah kita merujukkan diri kita kepada sejarah kembali. Berdasarkan kepada sejarah, marilah kita sesama kita berikrar di sini untuk menjadi pekerjaan pengkajian tokoh datuk nenek kita bermula daripada Tuan Tabal sebagai titik pertemuan di dalam pekerjaan sambilan, demi mewujudkan perasaan kekitaan  di kalangan cucu-cucu Tuan Tabal yang ada sekarang. Seterusnya marilah kita berikrar pula untuk berusaha supaya asas ilmu Tuan Tabal itu terus mengalir kepada keturunan-keturunannya dan anak-anak bangsa kita kerana ketiadaan asas ilmu Tauhid akan membawa kecacatan sikap kepada tiap peribadi Muslim. Justeru kalau direnung dari sudut falsafah ilmu Tauhid merupakan kemuncak dan pemusatan kepada segala ilmu-ilmu yang wujud di alam syahadah yang nyata, dan sangat-sangat perlu oleh fitrah insaniah  yang semula jadi. Sebagai mana pernah seseorang pendeta berkata ilmu-ilmu yang ada sekarang ini adalah hanya akibat daripada ilmu Allah jua dan tidak mampu menunaikan tuntutan hidup manusia tanpa disertai oleh asas-asas Tauhid.

Sayugia dinyatakan juga di dalam mengkaji Tuan Tabal, hendaklah kita jangan lupa akan ketokohan anak-anak dan cucu-cucunya dalam mendukung dan meneruskan perjuangan keilmuan bapanya. Mereka itu ialah Haji Wan Muhammad (1869-1920), Haji Wan Musa (1874-1939), Haji Wan Abdullah (1877-1926) dan beberapa ulamak seterusnya. Tokoh-tokoh ini juga perlu diterokai justeru jasa bakti mereka terhadap perkembangan akan pemikiran Islam di Kelantan Darul Naim adalah besar sekali.

Untuk makluman sekalian, bahan-bahan tentang keempat-empat ulamak tadi iaitu Tuan Tabal, Haji Wan Muhammad, Haji Wan Musa dan Haji Wan Abdullah yang kebetulan pula datuk nenek kita sangat-sangat dihargai oleh pusat-pusat pengajian tinggi, baik di dalam negeri mahupun di beberapa institusi di luar negeri. Sampai kini penulisan-penulisan tentang mereka ini dengan sebuah kekurangan ada dihidangkan di dalam :

  1. Ajaran Tasawuf Tuan Tabal dalam Jala’ al-Qulub oleh Muhammad Uthman El-Muhammady di dalam majalah Nusantara Bil. 1 Januari 1972.
  2. Islamic Ethies in Nineteen Century : Kajian mengenai Kitab ‘Minhah al-Qarib”, “Munabbih al-Ghafilin”, “Jala al-Qulub Bi Zikri Allah” dan “Munabbih Ahl al-Awbah fi Bayan at-Taubah” karangan Tuan Tabal oleh Muhammad Uthman El-Muhammady.
  3. Haji Wan Musa and His Theological Debate by Hj Nik Salleh Hj Wan Musa and S Osman Kelantan di dalam buku Kelantan in History edited by Prof Dr William R Roff
  4. Sejarah Gerakan dan Perkembangan Aqli Pemikiran Islam di Jajahan Kota Bharu (1900-1940) : Latihan Ilmiah di …..(?) oleh Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Hassan.
  5.  Haji Wan Musa dan Konsep Keagamaan oleh Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Hassan di dalam Majalah Malaysia in History 1975/76.
  6. Tuan Tabal sebagai Seorang Tokoh Sastera Islam di Nusantara di dalam Buku Pengantar Sastera oleh Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi

Demi menjayakan cadangan saya di atas tadi, saya mengesyorkan supaya pakatan yang kita hendak adakan ini dinamakan  “Pakatan Tuan Tabal dan menjalani tugas berikut:-

  1. Menulis sebuah kitab kecil memuatkan salsilah keturunan Tuan Tabal hingga kini dengan mengikut sistem yang akan ditentukan bersama-sama nanti;
  2. Mengumpul bahan-bahan baik secara tulisan mahupun secara lisan tentang Tuan Tabal,  Haji Wan Muhammad, Haji Wan Musa , Haji Wan Abdullah dan ulama kemudian yang terdiri daripada cucu-cucunya untuk dibuat makalah atau buku jika mahu atau pun berikan(?) bahan-bahan kumpulan itu kepada Pakatan Tuan Tabal supaya da[at disebarkan kepada orang-orang yang ingin menulis tentan datuk nenek kita ini.
  3. Mengkaji kandungan kitab-kitab karangan Tuan Tabal, Haji Wan Muhammad (jika ada), Haji Wan Musa , Haji Wan Abdullah dan ulama-ulama yang terdiri daripada cucu-cucu Tuan Tabal.
  4. Membaiki surau Tuan Tabal di Lorong Tok Semian supaya dapat dijadikan tempat pertemuan Ahli-ahli Jawatankuasa Pakatan Tuan Tabal dan juga untuk dibuat tempat ibadah oleh semua orang yang mahu beribadah di situ.

Untuk mengendalikan tugas-tugas ini supaya berjalan dengan lancar dan licin, saya mengesyorkan dilantik Jawatankuasa yang terdiri daripada Penasihat, Yang Dipertua, Setiausaha, Penolong Setiausaha , Bendahari dan Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain.

Sekian dahulu saya sudahi dengan kata-kata hikmah “Orang yang tidak tahu menilai hidup yang mulia ialah orang yang hampa yang tiada mengetahui sejarah keturunannya”.