
Tuan Tabal Adalah pengasas ilmu agama secara mendalam di negeri Kelantan[i]. Beliau adalah ulama sufi yang berwibawa di negeri ini. Di tengah-tengah kejahilan anggota masyarakat, beliau mengorak langkah ke arah merealisasikan mereka tentang peri pentingnya dijiwai hidup di dunia ini dengan ajaran tasawuf demi untuk mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat kelak.
Nama Tuan Tabal yang sebenarnya ialah Hj. Abdul Samad bin Mohd Salleh. Beliau mendapat gelaran yang demikian kerana beliau lahir dan dibesarkan di Tabal (sekarang termasuk dalam wilayah Selatan Siam dan bersempadan dengan negeri Kelantan). Sesungguhnya telah menjadi tradisi di kalangan masyarakat Islam apabila muculnya seseorang ulama yang masyhur maka ulama itu akan diberi gelaran nama tempat asal di mana beliau dilahir dan dibesarkan.
Lahir di dalam keluarga yang sederhana hidupnya , di mana bapanya bertugas sebagai seorang imam, Tuan Tabal semenjak umur awal belasan tahun lagi cenderung untuk hidup sebagai seorang yang warak Kecenderungan untuk hidup demikian mungkin timbul kerana proses pendidikan yang beliau terima daripada ayahandanya. Sesungguhnya ayahanda beliau yang bertugas sebagai imam di Tabal ialah seorang yang taat beragama dan warak.
Seperti ramai kanak-kanak yang lain di Tabal, Tuan Tabal semasa berumur demikian belajar mengaji Al Quran dan beberapa pengetahuan asas tentang agama iaitu rukun Islam, rukun Imam dan pelajaran Fardhu Ain di masjid kampungnya. Selepas mendapat pendidikan asas ini, dalam waktu umur pertengahan belasan tahun, beliau dikhabarkan pergi ke Besut, Terengganu, untuk mempelajari ilmu agama di sana[ii]. Selepas beberapa tahun mendapat pendidikan asas di dalam nahu Arab, saraf, fiqah Syaffiyah, tasawuf dan usuluddin beliau pergi ke Mekkah untuk mendalami ilmu agama di sana.
Di Mekkah Tuan Tabal banyak menghabiskan mendampingkan dirinya dengan Sidi Ibrahim Daripada Sidi Ibrahim inilah beliau mempelajari amalan Tariqah Ahmadiyyah dan mendalami ilmu tasawuf.[iii] Sidi Ibrahim ialah murid Sidi Ahmad ibnu Idris pengasas amalan Tariqah Ahmadiyyah[iv]. Walaupun Tuan Tabal banyak menumpukan masanya kepada amalan Tariqah dalam mendalami ilmu tasawuf ini tidaklah pula bermakna beliau mengenepikan langsung ilmu lain-lain. Semasa di Mekkah beliau juga ada mempelajari ilmu fiqah Syaffiyahn usuluddin, tafsir, hadith, nahu Arab, saraf, mantiq, balaghah, arud dan lain-lain.
Selaku seorang Sufi, Tuan Tabal hidup sebagai seorang zahid. Semasa di Mekaah beliau menghabiskan hanya empat gantang beras dalam setahun. Beliau banyak menghabiskan masa mendalami ilmu dan beribadah, termasuk berpuasa. Salah seorang rakan karib beliau di Mekkahialah Hj. Muhammad Said, seorang ulama tasawuf yang terkenal di Negeri Sembilan dan pengasas amalan Tariqah Ahmadiyyah di negeri itu.
Sekembalinya Tuan Tabal ke kampung asalnya dari Mekkah dalam pertengahan kedua tahun 1860-an beliau bergiat mengajar agama kepada penduduk-penduduk kampungnya. Kegiatan pengajarannya telah mendapat sambutan yang hebat daripada orang ramai. Selaku seorang Sufi, di samping mengajar beliau juga kuat beribadah dan berkhalwat.[v] Dikatakan di dalam suatu peristiwa beliau ada berkhalwat selama 41 hari dan 41 malam di bawah sepohon kayu rendang lebih kurang 2.4km dari rumahnya. Dalam masa berkhalwat ini beliau cuma makan ‘berteh’ sahaja. Pada masa inilah nama beliau selaku seorang sufi yang alim mulai terdengar bukan sahaja di kampungnya akan tetapi juga di kalangan orang ramai di Kota Bharu. Kelantan. Berita kealiman beliau itu juga sampai ke pengetahuan salah seorang yang ternama di negeri ini yang dikenali umum dengan nama Tok Semian (jurutulis).[vi] Pada masa inilah nama beliau telah disebut-sebut sebagai Tuan Tabal di kalangan orang ramaidi Kota Bharu. Demi untuk membolehkan Tuan Tabal menjadi anggota keluarganya dan menetap berkhidmat di Kota Bharu, maka Tok Semian pergi ke Tabal dan menawarkan anaknya Wan Som untuk diisterikan oleh Tuan Tabal, serta menjemput beliau datang ke Kota Bharu. Cita-cita dan hasrat Tok Semian itu kemudiannya dipersetujui oleh Tuan Tabal.
Di Kota Bharu, Tuan Tabal tinggal di Lorong Tok Semian. Di situlah beliau telah diwakafkan oleh Raja Muda Negeri Kelantan (yang bernama Tengku Zainal Abidin) kayu-kayan untuk beliau mendirikan sebuah surau.Selaku seorang yang juga berkemahiran dari segi seni pertukangan tangan, beliau dengan pertolongan beberapa orang muridnya telah mendirikan surau di Lorong Tok Semian berdekatan dengan rumahnya. Di surau itulah beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk mengajar, menulis dan beribadah. Di Kota Bharu beliau dikenal alim dalam ilmu tasawuf, fiqah, usuluddin nahu Arab dan saraf. Seperti juga di Mekkah dan di Tabal semasa di Kota Bharu, beliau banyak menumpukan masa kepada ilmu tasawuf. Penumpuan kepada ilmu ini memberi kelazatan kepada beliau. Kemampuan beliau dalam ilmu ini sampai ke peringkat doktrin wahdatul-wujud. Wahdatul-wujud ialah satu doktrin yang diasaskan oleh seorang ulama Islam yang terkenal bernama Syeikh Muhy-ud-Din Ibn-ul- Arabi. Doktrin ini membawa maksud keesaan kewujudan dengan erti bahawa tiada yang wujud melainkan Allah. Satu keistimewaan dalam ajaran Tuan Tabal beliau menyatukan ilmu tasawuf dengan ilmu fiqah. Sesungguhnya dalam sejarah Islam ada berlaku saling salah menyalahi di antara ulama fiqah dengan ulama-ulama tasawuf.
Sepanjang hayatnya sekembali dari Mekkah Tuan Tabal bersama-sama dengan pengikutnya kuat mengamalkan Tariqah Ahmadiyyah. Amalan Tariqah ialah satu daripada cabang-cabang ilmu tasawuf dan merupakan metod untuk membolehkan seseorang mengenali doktrin tasawuf (doktrin tasawuf membicarakan aspek ontology kosmologi dan psikologi) secara hati batin. Di samping kuat bertariqah, Tuan Tabal juga kuat melakukan ibadah seperti sembahyang tahjub dan sembahyang sunat yang lain. Selain daripada itu, beliau juga ada menghasilkan beberapa kitab agama. Nama-nama kitab karangan beliau seperti berikut :
- Munyatu Ahli ‘l-Awbah fi Bayani ‘l-Taubah dalam lapangan tasawuf.
- Bi Kifayat ‘l-‘Awam dalam lapangan usuluddin tentang sifat dua puluh.
- Munabbihu ‘l-Ghafilin dalam lapangan tasawuf.
- Minhatu ‘l-Qarib tentang usuluddin, feqah dan tasawuf
- Jala- al-Qulub tentang tasawuf.
Oleh kerana Tuan Tabal kuat mengajar, beribadah dan menulis pada tiap-tiap hari, maka beliau serigkali tidur 2 jam sahaja dalam masa sehari semalam. Semasa hayatnya di Kota Bharu, Kelantan, beliau telah mendapat penghormatan yang tinggi daripada kesemua lapisan masyarakat negeri ini. Mereka berkunjung ke rumah untuk bertanya-tanya beliau tentang hal ehwal agama. Salah seorang ulama yang benar-benar menghormati beliau dari segi ilmu ialah Hj. Nik Wan Daud bin Wan Sulaiman. Hj. Wan Daud ialah seorag imam dan mufti negeri Kelantan mulai penguhujun abad ke-19 sehingga tahun 1908. Dikatakan apabila beliau menghadapi masalah tentang perkara-perkara berhubung hukum hakam, beliau seringkali merujuk kepada Tuan Tabal untuk mendapat penyelesaian. Disebalik Tuan Tabal disanjung tinggi oleh sebahagian besar masyarakat umum negeri Kelantan, beliau ada pula dimarahi oleh seorang ulama yang dikenali umum dengan panggilan Tok Konok. Tok Konok yang sebenarnya bernama Hj. Nik Zainal Abidin ialah seorang ulama yang alim dalam kaedah membaca ayat-ayat Al Quran. Beliau tinggal di Jalan Merbau dan bersikap kepahlawanan. Entah apakah sebab kemarahan Tok Konok ini tidak pula diketahui oleh penulis. Diceritakan dalam satu ketika kedua-dua ulama ini ada kebetulan bertemu di satu tempat di dalam bandar Kota Bharu. Apabila dilihat sahaja oleh Tok Konok, Tuan Tabal sedang berjalan kaki beliau terus menghunuskan kerisnya untuk menikam ulama itu. Dengan tenang Tuan Tabal menjawab sekiranya hamba tidak mati di tangan Tok Konok, hamba hendak mati di tangan siapa lagi. Jawapan Tuan Tabal ini menyejukkan hati Tok Konok sehingga menyebabkan beliau menyorokkan kembali keris itu ke pinggangnya.
Di khabarkan bahawa Tuan Tabal ialah seorang ulama yang tidak bersikap pemarah. Beliau tidak suka memukul anak-anak dan murid-muridnya. Hasil daripada hasrat dan ketekunan beliau membimbing murid-muridnya maka seterusnya lahirlah beberapa orang ulama di kalangan murid-muridnya. Di antara mereka ialah Hj. Wan Ahmad bin Hị. Abdul Samad (1869-1920) (anak Tuan Tabal yang pertama); Hj. Wan Musa bin Hj. Abdul Samad (1874-1939) (anak Tuan Tabal yang ketiga); Hj. Wan Abdullah bin Hj. Abdul Samad (1877-1926) (anak Tuan Tabal yang keempat) dan Hj. Daud bin Hj. Hussein (meninggal 1930) (muridnya).
[i] Penulisan tentang Tuan Tabal ini penulis selenggarakan berasaskan bahan-bahan tulisan dan lisan. Bahan-bahan tulisan yang ada terdapat membicarakan tentang beliau ialah seperti berikut : Muhammad Uthman El Muhammady, ‘Ajaran Tasawuf Tuan Tabal dalam Jala Al-Qulub’ dalam Journal Nusantara, Bil. 1 Januari 1972, (lihat juga monograf ini); Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi, Pengantar Sastera, PAP, Kelantan, 1966, h.185; Muhd. Zain bin Mat Yamin, Tuan Tabal (Hj. Abdul Samad bin Mohd. Salleh Al-Kelantani) 1840-1891, Latihan Ilmiah untuk Sarjana Muda Peringkat Kepujian, IBKKM, UKM, 1878/79 (tidak dicetak); Hj Nik Muhd. Salleh bin Wan Musa and S. Othman Kelantan, ‘Suatu Gerakan Pembaharuan (Reformasi) Agama Islam di Kelantan I dan II [Dari Tuan Tabal (1816-18910 sampai Hj. Nik Muhd. Salleh]’ (esei yang tidak dicetak),hlm.2.
[ii] Berpandu kepada tulisan-tulisan tentang Tuan Tabal, beliau dikatakan mendapat pendidikan di Patani sebelum pergi melanjutkan ilmu ke Mekkah. Kenyataan-kenyataan di atas dibuat berasaskan kenyataan-kenyataan umum bahawa Tuan Tabal pergi belajar di Patani sebelum melanjutkan pelajarannya ke Mekkah. Sesungguhnya Patani adalah pusat pengajian Islam yang terkemuka dalam abad ke-19. Walaupun tulisan-tulisan ini menyatakan bahawa Tuan Tabal pergi belajar di Patani sebelum melanjutkan pelajarannya ke Mekkah, akan tetapi penulis lebih berkeyakinan bahawa Tuan Tabal pergi belajar agama ke Besut Terengganu dan tidak ke Patani sebelum melanjutkan pelajarannya ke Mekkah. Keyakinan demikian timbul ekoran daripada temuramah penulis dengan seorang imam di Tabal bernama Abdul Samad bin Ibrahim pada 8 April 1976. Beliau pula mendengar kenyataan demikian daripada datuknya yang kebetulan pula kawan karib Tuan Tabal.
[iii] Berpandukan tulisan-tulisan tentang Tuan Tabal juga, beliau dikatakan menerima Tariqah Ahmadiah daripada Sidi Muhammad Denderawi. Sesungguhnya Sidi Muhammad Denderawi ialah murid kepada Sidi Ibrahim. Pada keyakinan penulis Tuan Tabal menerima Tariqah Ahmadiah itu daripada Sidi Ibrahim. Keyakinan ini timbul kepada penulis apabila terlihat satu risalah tangan yang dipercayai dihasilkan oleh salah seorang murid Tuan Tabal. Risalah ini menyatakan Tuan Tabal menerima Tariqah Ahmadiah daripada Sidi Ibrahim. Demikian juga kenyataan orang-orang tua yang tinggal berdekatan dengan surau Tuan Tabal di Lorong Tok Semian, Kota Bharu, Kelantan. Tentang risalah tulisan tangan itu ada dalam simpanan Hj. Nik Ismail bin Hj. Nik Abdul Rahman cucu Tuan Tabal yang sekarang tinggal di Lorong Tok Semian.
[iv] Sidi Ahmad Ibnu Idris ialah seorang wali yang berasal dari Morocco, Afrika Utara. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1837.
[v] Berkhalwat ialah suatu amalan orang sufi dengan tujuan untuk mendampingi dirinya dengan Allah SWT. Amalan ini dilakukan dengan mengasingkan dirinya daripada orang ramai seperti tinggal di dalam bilik atau di gua keseorangan, sambil mengingati dan menzikirkan nama Allah SWT.
[vi] Nama Tok Semian yang sebenarnya ialah Hj. Abdul Rahman bin Lebai Muda. Beliau telah diberi gelaran Tok Semian disebabkan beliau menjadi jurutulis kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Semian ialah perkataan dalam bahasa Siam yang membawa erti jurutulis. ramai lagi.
(Petikan dari Buku “Ide-Ide Reformasi Islam Malaysia Kini : Ilham Dari Jiwa Pengajaran Ulama-Ulama Tariq Shah Wali Allah Al Dihlawi Silam Kelantan”, Bab II : Lima Orang Tokoh Ulama di Negeri Kelantan 1860 – 1940)