(petikan daripada Buku Tariq Shah Waliyullah Dihlavi di Jajahan Kota Bharu 1934-1950 oleh Nik Abdul Aziz Hj Nik Hassan)
Pengajaran ilmu ugama mengikut Tariq Shah Waliullah al Dihlavi buat sementara waktu selepas kematian Hj Nik Abdullah hanya mendapat sambutan daripada sebilangan kecil anggota masyarakat jajahan ini. Ini ialah kerana ketokohan ulamak Hj Nik Muhd Nor bin Hj Wan Musa yang meneruskan pengajaran ugama mengikut tariq ini tidak dikenali umum. Lebih-lebih lagi pula cara pengajaran beliau tidak mempunyai daya tarikan kepada mereka-mereka yang hadzir. Walaubagaimanapun mulai pada tahun 1946 sehingga tahun 1950 pengajaran tariq ini mendapat sambutan yang ramai kembali daripada anggota masyarakat tempatan jajahan ini apabila adanya kegiatan-kegiatan pengajaran yang diusahakan oleh adik Hj Nik Abdullah yang kesepuluh iaitu Hj Nik Muhd Salleh.
Hj Nik Muhd Salleh dilahirkan pada bulan Mac tahun 1920, seperti juga kakanda-kakandanya Hj Nik Abdullah, semenjak kecil lagi telah di didik didalam amalan disiplin ugama oleh ayahandanya.[1] Kemudian apabila umur beliau meningkat awal belasan tahun, beliau telah mempelajari bahasa Arab dan bahasa Melayu. Berbedza daripada Hj Nik Abdullah, beliau semenjak kecil lagi mempunyai perwatakan yang nakal.
Oleh yang demikianlah pula, beliau senantiasa di pukul oleh ayahandanya. Walaubagaimanapun beliau juga menjadi harapan ayahandanya untuk menjadi ulamak yang alim kelak oleh kerana memandang kepada kecerdasan otaknya semasa belajar.
Sekembali kakandanya Hj Nik Abdullah ke Jajahan Kota Bharu, beliau dikehendaki pula oleh ayahandanya supaya mengikuti pengajaran-pengajaran ugama yang diselenggarakan oleh kakandanya itu. Semasa belajar, beliau mendapat pujian pula daripada kakandanya justru kerana cepat memahami pengajaran itu. Walaupun beliau hanya sempat mempelajari ilmu ugama mengikut Tariq Shah Waliullah al Dihlavi hanya tujuh bulan sahaja daripada Hj Nik Abdullah, akan tetapi pengajian itu benar-benar memberi inspirasi kepada beliau untuk mendalami ilmu ugama mengikut tariq ini seterusnya.[2] Oleh yang demikianlah pada tahun 1936 beliau pergi ke Mekkah dengan bertujuan untuk mendalami ilmu ugama mengikut tariq ini daripada Maulana Ubaidullah al Sindhi yang pada ketika itu di khabarkan masih lagi berada di sana.
Di Mekkah, beliau telah didapati oleh Maulana Ubaidullah al Sindhi belum lagi mempunyai persediaan ilmu yang cukup untuk membolehkan beliau memahami ilmu ugama mengikut tariq ini dengan mendalam. Oleh yang demikian beliau telah dinasihat oleh Maulana itu supaya pergi ke India dan masuk belajar di Institusi Darul Ulum Deoband terlebih dahulu bagi mendapat asas-asas ilmu ugama tadi. Oleh kerana mendengar nasihat daripada Maulana itu beliau pada tahun 1937 telah pergi ke India dan seterusnya mendaftarkan dirinya belajar di institusi itu sehingga tahun 1939.
Apabila tertubuhnya Bayttul Hikmah (Rumah Filsafah) di Institusi Jamaiah Milliah di New Delhi pada tahun 1939, Hj Nik Muhd Salleh terus memohon dan kemudian diterima masuk belajar di tempat itu. Di Bayttul Hikmah itulah Hj Nik Muhd Salleh mempelajari ilmu Quran dan ilmu Hadith mengikut tariq Shah Waliullah al Dihlavi daripada Maulana Ubaidullah al Sindhi selama tiga tahun. Mengikut Hj Nik Muhd Salleh, Maulana Ubaidullah al Sindhilah guru yang paling memberi kesan kepada beliau didalam memahami ilmu ugama. Melalui perdampingan diri beliau dengan guru inilah beliau memperolehi pengetahuan yang mendalam mengenai penyesuaian filsafah Al Quran dengan semua filsafah-filsafah dan ugama-ugama didalam dunia ini. Di samping itu beliau juga mempelajari ilmu filsafah sejarah dan ilmu tamaddun daripada Maulana itu.[3]
Pada masa berlakunya perang dunia yang kedua, Hj Nik Muhd Salleh oleh kerana hendak membiasakan diri didalam hal ehwal perang, menceburkan pula didalam lapangan ketenteraan dengan bertugas sebagai pegawai penerangan dan penterjemah akhbar di “British Information Service Calcutta.” Seterusnya pada tahun 1944 beliau masuk berkhidmat didalam perkhidmatan keselamatan ketenteraan Amerika Syarikat di Ceylon di bawah ketuanya yang diberi nama Mr. Mead sehingga tahun 1945.
Semasa menuntut di India nama Hj Nik Muhd Salleh belum lagi dikenali umum oleh anggota masyarakat Kota Bharu. Ini berbedza dengan kedudukan nama Hj Nik Abdullah di Kota Bharu semasa beliau berada di Mekkah sebelum. Keadaan demikian ujud kepada Hj Nik Muhd Salleh oleh kerana berlakunya peperangan Dunia Kedua, apabila mendaratnya tentera Jepun di Kota Bharu mulai pada tahun 1941. Suasana peperangan ini menghindarkan nama beliau sebagai seorang pemuda yang alim tersebar luas dikalangan masyarakat jajahan ini.
Walaubagaimanapun nama Hj Nik Muhd Salleh ada juga di sebut-sebut sebagai bakal ulamak yang akan mengganti tempat Hj Nik Abdullah oleh sebilangan kecil bekas pengikut-pengikut Hj Wan Musa dan Hj Nik Abdullah. Mereka ini mengetahui tentang hal ehwal pengajian Hj Nik Muhd Salleh di India melalui perhubungan mereka dengan anggota keluarga Hj Wan Musa sendiri.
Pembukaan Sekolah Islah oleh adinda Hj Nik Muhd Salleh pada tahun 1942 juga memberi publisiti nama Hj Nik Muhd Salleh kepada murid-murid sekolah itu.[4] Penubuhan sekolah ini bertujuan untuk mereformasikan pemikiran pemuda-pemuda Islam di Negeri Kelantan didalam memahami ugama.[5] Untuk menjayakan tujuan yang demikian jemaah pengelola sekolah itu menanti-nanti kepulangan Hj Nik Muhd Salleh.
Pencetakan sebuah kitab karangan Hj Nik Muhd Salleh yang berjodol Sinaran Itiqad (pegangan) oleh M.U.I.A.I.M.K. didalam tahun 1938 juga memain peranan kearah memberi publisiti nama beliau kepada beberapa kalangan masyarakat Jajahan Kota Bharu. Kitab ini membicarakan pemergian Nabi Muhammad S.A.W. ketujuh lapisan langit semasa israk dan mikraj.[6]
Jauh berbedza dengan sambutan yang diberikan kepada kakanda beliau Hj Nik Abdullah, kepulangan Hj Nik Muhd Salleh ke Kota Bharu tidak mendapat sambutan yang ramai daripada anggota masyarakat. Beliau cuma dinanti-nantikan oleh puluhan orang-orang di stesyen keretapi Kota Bharu dan dirumah ayahandanya. Mereka itu terdiri daripada sanak saudara dan bekas-bekas pengikut ayahanda dan kakandanya.
Kegiatan pengajaran Hj Nik Muhd Salleh disurau ayahanda beliau didalam bentuk nasihat melalui pentafsiran ayat-ayat Al Quran pada mula-mulanya kurang mendapat sambutan daripada orang-orangramai. Akan tetapi selepas seminggu sahaja beliau mengajar ugama jumlah kehadziran didalam jemaah pengajarannya bertambah-tambah, sehingga pada minggu yang kedua tidak ada ruangan lagi bagi mereka yang datang lewat untuk duduk bersela didalam surau itu. Pada minggu-minggu yang seterusnya pula, apabila hampir tiba waktu beliau hendak mengajar, didalam surau ayahandanya dan di luar surau itu penuh sesak dengan orang ramai di dalam keadaan bersela dan bertenggong serta berdiri menanti-nanti hendak mendengar pengajaran beliau. Kembalinya semula surau itu menjadi tumpuan orangramai semenjak kematian Hj WanMusa didalam tahun 1939 ialah kerana personaliti Hj Nik Muhd Salleh itu sendiri. Hj Nik Muhd Salleh, oleh kerana sifat kerismatiknya, serta ditambah lagi dengan kebolehan beliau didalam menghuraikan sesuatu, dengan suaranya yang berapi-api dan mendayu-dayu, dan kadang-kadang diselit pula dengan cerita-cerita yang lucu, menyebabkan beliau dapat menarik kembali pengikut-pengikut ayahanda dan kakanda beliau yang ramai itu, untuk datang mendengar pengajaran ugama disurau itu.
Untuk melahirkan ulamak-ulamak yang boleh mengkaji Al Quran dan Al Hadith dan seterusnya berijtihad, beliau mengumpul empat orang pemuda yang berbakat yang pula mempunyai asas kekuatan bahasa Arab dan ilmu pengetahuan ugama.[7] Kepada mereka ini beliau mengajar dirumah beliau sendiri pada waktu-waktu yang tertentu. Salah seorang daripada mereka itu ialah adinda beliau sendiri Nik Muhdyden.[8]
Kemasyoran nama Hj Nik Muhd Salleh sebagai seorang ulamak, menyebabkan didalam tahun 1946 keluarga Tengku Sri Wangsa mengundang beliau untuk mengajar ugama ditempat kediaman mereka di Jalan Pengkalan Chepa.[9] Pengajaran beliau didalam bentuk nasihat melalui pentafsiran Al Quran pada tiap-tiap malam minggu disana menarik minat ramai anggota-anggota keluarga diraja.
Akibat kerapkali melihat wajah dan mendengar suara Hj Nik Muhd Salleh mengajar, salah seorang daripada anak perempuan Tengku Wangsa bernama Tengku Adawiyah, jatuh cinta kepada beliau. Seterusnya didalam tahun 1946, ekor daripada rasa cinta itu membawa pula kepada perkahwinan mereka berdua. Perkahwinan ini adalah sesuatu yang luar biasa kalaulah dilihat didalam konteks sosial masyarakat Jajahan Kota Bharu didalam tahun-tahun 1940han. Sesungguhnya sebelum tahun 1950 sukar hendak didapati di Jajahan Kota Bharu berlaku-nya perkahwinan diantara anak-anak perempuan raja dengan anak-anak lelaki yang bukan datang daripada keturunan diraja. Ini ialah di sebabkan oleh kedudukan kelas keturunan yang berbedza.
Sultan Ibrahim Ibnu Sultan Muhammad IV oleh kerana memandang tinggi kepada kealiman Hj Nik Muhd Salleh, ada menjemput beliau datang ke istana Sri Chemerlang didalam tahun 1946 untuk bertanya-tanya tentang hal-hal keugamaan. Sultan Ibrahim ada mengatakan beliau ialah seorang ulamak yang bijak didalam bercakap serta berhujjah dan sukar ditandingi oleh ulamak-ulamak lain di negeri Kelantan ini.[10] Mungkin Sultan Ibrahim begitu memandang tinggi kepada beliau selain daripada faktor kebijaksanaan beliau sendiri didalam bercakap dan berhujjah, ialah juga kerana beliau anak kepada Hj Wan Musa dan adik kepada Hj Nik Abdullah sendiri.
Selain daripada mengajar ugama ditempat-tempat yang berkenaan tadi, Hj Nik Muhd Salleh berbedza pula daripada Hj Nik Abdullah ada dijemput untuk bersyarah ugama di beberapa buah kampung didalam Jajahan Kota Bharu. Ujudnya perbedzaan ini ialah kerana ujudnya pula keadaan masyarakat yang berlainan diantara tahun-tahun 1940han dengan tahun-tahun sebelum. Didalam tahun-tahun 1940han anggota masyarakat menampakkan lebih dinamis didalam mengambil inisiatif mengadakan majlis syarahan dan menjemput ulamak-ulamak tentu dengan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penduduk-penduduk kampung mereka masing-masing. Sebaliknya pula anggota-anggota masyarakat pada umumnya didalam tahun-tahun 1930han bersikap pasif dan tidak mengambil inisiatif untuk menganjurkan majlis-majlis seperti tadi.
Pada umumnya ucap-ucapan Hj Nik Muhd Salleh tadi di hadziri oleh ratusan penghuni kampung tadi. Di tiap-tiap kampung yang beliau berucap itu, mendapat tepukan yang gemuruh daripada mereka-mereka yang hadzir. Di Kampung Bunut Payung, walaupun beliau ada di lontar telor busok oleh beberapa orang penduduk di situ semasa bersyarah, akan tetapi sebaliknya beliau mendapat sokongan yang ramai daripada penduduk-penduduk disitu.
Semasa pergi ke Bandar Pasir Mas atas jemputan daripada orang-orang disana didalam tahun 1948, Hj Nik Muhd Salleh telah disambut oleh ratusan orang-orangramai. Atas inisiatif daripada salah seorang pengikut beliau disana, bernama Hj Ahmad Al Ahmadi, beliau bersetuju supaya ditubuhkan sebuah persatuan yang diberi nama Asas Melayu Raya didalam tahun yang sama, berpusat dibandar itu. Persatuan ini yang diketuai oleh beliau bertujuan untuk menyedarkan seluruh masyarakat Melayu supaya bersatu diatas dasar satu ugama bagi kepentingan kemajuan kehidupan bangsa itu pada masa hadapan. Persatuan ini sepanjang hayatnya lebih kurang selama tiga tahun tidak menampakkan menganjurkan sesuatu pergerakkan yang istimewa didalam menjayakan cita-cita tadi, selain daripada berusaha untuk mencetak sebuah kitab karangan Hj Nik Muhd Salleh didalam tahun 1949 yang berjodol “Filsafah Rumah Tangga” sahaja.[11]
Pada tiap-tiap hari dirumah Hj Nik Muhd Salleh pula seperti pada masa Hj Nik Abdullah dahulu, tiada putus-putus orangramai datang berkunjung untuk bertemu dan bertanya-tanya tentang hal-hal keugamaan. Mereka ini datang daripada semua lapisan anggota masyarakat jajahan ini. Menariknya ada pula orang-orang yang kurang sihat tubuh badan apabila berhadapan dan mendengar suara beliau akan merasa segar dan sihat kembali. Keadaan yang demikian mungkin berlaku oleh kerana kebijaksanaan beliau didalam mempersesuaikan bidang percakapannya itu dengan minat dan kecenderungan seseorang. Sambil mereka datang kerumah beliau itu, mereka membawa pula beras, buah-buahan, daging dan binatang-binatang ternakan untuk diberi kepada keluarga guru mereka itu.
Di sebalik sambutan yang hebat tadi, Hj Nik Muhd Salleh oleh kerana mempunyai peribadi yang kontravesal, tidak disetujui pula oleh ramai anggota masyarakat Jajahan KotaBharu. Peribadi yang kontravesal ini telah ditunjukkan oleh beliau semenjak beberapa bulan sahaja berada di Kota Bharu, sekembali daripada India. Mulai pada masa ini beliau tidak lagi sembahyang berjemaah dengan orangorangramai di surau ayahandanya baik sebelum mahu pun selepas beliau mengajar ugama. Sebaliknya, sudah menjadi tradisi masyarakat Melayu pada masa itu, apabila sesuatu pengajaran ugama itu diadakan diantara waktu Maghrib dan Isyak maka ulamak-ulamak yang berkenaan itu akan mengetuai sembahyang berjemaah menunaikan fardzu sembahyang Maghrib terlebih dahulu, dan seterusnya pula selepas pengajaran itu selesai, ulamak-ulamak itu akan mengetuai pula menunaikan fardzu sembahyang Isyak.
Di samping itu Hj Nik Muhd Salleh juga mulai di khuatiri tentang kejujuran beliau didalam mengendalikan hal-hal kewangan yang diamanahkan oleh orangramai kepada beliau untuk tabung kewangan Sekolah Islah. Hj Nik Muhd Salleh didalam tahun 1946 ada melibatkan secara aktif sebagai ahli jawatankuasa pengelola sekolah itu. Kekhuatiran terhadap kejujuran peribadi beliau ini telah menyebabkan ramai dikalangan pengikut-pengikut beliau termasuk saudaramara beliau sendiri menjauhkan diri masing-masing daripada beliau. Nik Muhdyiden adik beliau bukan sahaja sekadar berhenti menadah kitab didalam jemaah pengajaran beliau, bahkan tidak segan-segan lagi didalam penghujung tahun 1946 menuduh beliau tidak mengamalkan hukum-hukum ugama dan tidak mempunyai amanah didalam mengendalikan wang yang diperuntukkan oleh orangramai untuk Sekolah Islah. Hj Nik Muhdyiden telah mengeluarkan kata-kata demikian di dalam suatu mesyuarat jemaah pengelola sekolah itu yang diadakan di rumah Hj Nik Muhd Salleh sendiri. Encik Yussof Zaki bin Hj Yaakub pula, selaku seorang pemuda yang menadah kitab didalam jemaah pengajaran beliau mulai pada penghujung tahun 1946, enggan meneruskan belajar didalam jemaah pengajaran beliau.[12]
Begitulah juga Hj Nik Mat Jembar bekas pengikut Hj Wan Musa dan Hj Nik Abdullah yang kuat, menarik anaknya Nik Abdul Aziz daripada berguru kepada beliau.[13] Anak saudara beliau sendiri Hj Nik Abdul Rahman bin Nik Mat selepas melihat ketiga-tiga mereka diatas itu keluar, mulai pudar untuk berguru kepada beliau seterusnya. Oleh yang demikian beliau seterusnya didalam penghujung tahun 1946 berhenti pula belajar ugama daripada beliau.
Sultan Ibrahim Ibnu Sultan Muhammad IV dan anggota-anggota keluarga Tengku Sri Wangsa selepas tahun 1946 mulai renggang perhubungan mereka dengan Hj Nik Muhd Salleh. Malah seterusnya, ada anggota-anggota keluarga Tengku Sri Wangsa kerana terlampau marah kepada peribadi beliau itu, menghendaki supaya Tengku Adawiyah bercerai dengan suaminya Hj Nik Muhd Salleh. Namun demikian disebalik kehendak beberapa anggota keluarga beliau itu, Tengku Adawiyah tetap kekal tinggal bersama suaminya.
Walaubagaimanapun, disebalik ramai orang-orang yang mulai berjauhan daripada Hj Nik Muhd Salleh, ramai pula orang-orang lain yang baru, yang sebelumnya tidak pernah mendengar pengajaran beliau, tertarik pula untuk berguru kepada beliau. Mereka ini oleh kerana tertarik dengan sifat kerismatiknya dan kebolehan beliau didalam memperkata sesuatu tidak mempercayai tuduhan-tuduhan orang ramai bahawa beliau tidak hidup mengikut prinsip-prinsip ugama dan tidak ber-amanah didalam mengendalikan hal-hal kewangan.
Hj Nik Yussof bin Hj Nik Mat, walaupun ada mendengar berita-berita tentang kelemahan-kelemahan peribadi Hj Nik Muhd Salleh, bermati-matian tidak mempercayai berita itu selepas mendengar pengajaran beliau.[14] Kata beliau mustahil seorang alim yang bijak seperti Hj Nik Muhd Salleh sanggup berbuat demikian.
Di samping itu ramai pula orang-orang lain walaupun yakin akan kebenaran berita itu, mereka tetap juga terus pergi mendengar pengajaran beliau oleh kerana terlampau asyik mendengar beliau menghurai sesuatu tentang ugama. Wan Mahmud bin Hj Wan Muhammad mengakui bahawa Hj Nik Muhd Salleh mempunyai kecacatan peribadi tadi, akan tetapi beliau tetap pergi mendengar pengajarannya kerana huraian-huraian gurunya itu tentang ugama dapat menawan hati beliau.[15]
Ekor daripada fatwa Hj Nik Muhd Salleh yang kontrovesal daripada keseluruhan fatwa ulamak-ulamak tempatan yang lain dengan mengatakan kanak-kanak tidak di wajibkan keatas bapa dan penjaga membayar zakat fitrah didalam tahun 1946, beliau telah ditentang oleh ahli-ahli Majlis Ulamak M.U.I.A.I.M.K.[16]
Di dalam suatu rapat umum ugama di anjung Pejabat Persetiaan Melayu Kelantan, yang di anjurkan oleh M.U.I.A.I.M.K. untuk menentang fatwa Hj Nik Muhd Salleh tadi, lautan manusia hadzir diatas padang berdekatan dengan pejabat itu. Dua tiga hari sebelum daripada peristiwa ini terdengar khabar-khabar angin di kalangan pengikut-pengikut Hj Nik Muhd Salleh, mengatakan bahawa ada di kalangan pengikut-pengikut ulamak-ulamak tadi, yang hendak mengancamkan keselamatan diri Hj Nik Muhd. Salleh. Oleh yang demikian pada malam yang diadakan rapat umum itu, ramai pengikut-pengikut Hj Nik Muhd Salleh yang setia, berkumpul disurau Hj Wan Musa dan didalam perkarangan rumah Hj Nik Muhd Salleh, yang terletak berdekatan dengan surau tadi. Mereka ini hendak menjaga keselamatan diri guru mereka yang pada ketika itu sedang berada dan berbincang dengan beberapa pengikut-pengikut yang ikrab didalam surau tadi. Di kiri kanan berdekatan dengan guru mereka tadi, ada beberapa pengikut-pengikut yang terkenal berani dan handal didalam hal ehwal seni mempertahankan diri.
Semasa Hj Nik Muhd Salleh sedang berjalan menuju ke mahkamah awam untuk mendakwa Hj Abas bin Hj Muhammad (Besut) didalam tahun 1946, atas dasar mencela peribadinya didalam rapat umum ugama di Pejabat Persetiaan Melayu Kelantan tadi, beliau telah diapit oleh beberapa pengikut-pengikut beliau yang berani dan handal tadi. Di belakang beliau pula di ikuti oleh ramai pengikutpengikutnya. Apabila mahkamah menghukumkan denda sebanyak $200.00 terhadap Hj Abas atas kesalahan menyentuh peribadi beliau didalam rapat umum itu, pengikut-pengikut beliau yang berpusu-pusu datang membanjiri kawasan mahkamah tadi berjalan pulang dengan wajah yang menampakkan puashati.
Ketika Hj Nik Muhd Salleh diheret oleh M.U.I.A.I.M.K. ke mahkamah Syariah, Kota Bharu atas dasar terlibat didalam percetakan kitab karangannya yang berjodol Filsafah Rumah Tangga yang dicetak di Mustapha Press Kota Bharu, tanpa kebenaran daripada M.U.I.A.I.M.K. didalam tahun 1949, terdengar kata-kata dikalangan pengikut-pengikut beliau bahawa M.U.I.A.I.M.K. cuba hendak menyekat kegiatan-kegiatan guru mereka. Hj Yahya bin Hj Ali dengan tidak sabar-sabar lagi telah mengatakan bahawa tindakan M.U.I.A.I.M.K. itu adalah suatu tindakan yang jahat dengan semata-mata bertujuan hendak menghapuskan segala kegiatan guru beliau itu.[17] Semasa perbicaraan itu sedang berjalan, ramai pengikut-pengikut Hj Nik Muhd Salleh membanjiri kawasan mahkamah itu. Ketika beliau berjalan keluar daripada mahkamah selepas dihukum denda oleh Khadi mahkamah itu sebanyak $100.00, beliau telah diserbu dan kemudian di lingkungi oleh pengikut-pengikut beliau tadi seolah-olah hendak menjaga keselamatan dirinya.
Jumlah pengikut Hj Nik Muhd Salleh, walaubagaimanapun berkurangan selepas tahun 1950 sehingga kepada akhir hayatnya pada awal tahun 1972. Kemerosotan jumlah pengikut beliau ini semata-mata disebabkan oleh ketidakpercayaan anggota masyarakat Jajahan Kota Bharu terhadap kejujuran dan keikhlasan peribadi beliau didalam mengamalkan ajaran-ajaran ugama pada tiap-tiap hari.[18]
KESIMPULAN
Ujudnya ketokohan kedua-dua ulamak tempatan Tariq Shah Waliullah al Dihlavi diatas itu, selain daripada faktor-faktor keistimewaan personaliti mereka masing-masing yang ber-bedza tadi, ialah juga kerana faktor keturunan mereka itu sendiri. Oleh kerana mereka itu cucu kepada Tuan Tabal dan anak kepada Hj Wan Musa, iaitu ulamak-ulamak yang begitu terkenal dan berpengaruh di kesemua lapisan anggota masyarakat Jajahan Kota Bharu sebelum, menyebabkan kegiatan-kegiatan pengajaran mereka kedua ini senang pula mendapat sambutan-sambutan yang hebat tadi. Sambutan-sambutan yang hebat tadi, menyebabkan pengajaran ugama mengikut tariq ini dapat bertapak dan seterusnya mengalami proses penerusannya di kalangan masyarakat jajahan ini sehingga kini.
[1] Keseluruhan penerangan tentang Hj Nik Muhd Salleh ini penulis dapat hasil daripada temuramah penulis dengan ramai orang-orang yang meminta nama mereka di rahsiakan disini. Untuk melihat penerangan secara sepintas lalu tentang Hj Nik Muhd Salleh ini, yang pula bertentangan dengan penulisan-penulisan diatas ini dalam beberapa aspek, sila lihat Hj Nik Muhd Salleh bin Hj Wan Musa dan S. Osman Kelantan, gerakan, h. 18-21 dan Muhammad Salleh b. Wan Musa (with S. Osman Kelantan) Theological Debates, Hj Wan Musa bin Hj Abdul Samad and it’s family didalam Roff (ed) Kelantan, p.164-169.
[2] Penulis dapat hasil daripada perdampingan penulis dengan Hj Nik Muhd Salleh sendiri diantara tahun 1969 sehingga awal tahun 1972
[3] Hj Nik Muhd Salleh bin Hj Wan Musa dan S. Osman Kelantan, Gerakan h.19.- 98
[4] Sekolah Islah ditubuhkan oleh adik Hj Nik Muhd Salleh bernama Nik Muhdyden bin Hj Wan Musa. Sekolah ini semenjak penubuhannya sehingga tahun 1946 bertempat di surau dua tingkat yang dikhasikan oleh Hj Wan Musa untuk Hj Nik Abdullah mengajar ugama dahulu. Semenjak penubuhannya sehingga tahun 1946 sekolah ini mempunyai murid-murid yang dianggarkan dua ratus orang.
[5] Sila lihat suatu penerangan tentang Sekolah Islah pada lampiran XI, h. 261-262.
[6] Sila lihat Hj Nik Muhd Salleh bin Hj Wan Musa, Sinaran Itiqad (Pegangan), Majlis Ugama Islam Kelantan, Jun, 1938.
[7] Nama keempat-empat pemuda itu ialah Nik Muhdyden bin Hj Wan Musa, Encik Yussof Zaki bin Hj Yaakub, Nik Abdul Aziz bin Hj Nik Mat Jembar dan Nik Abdul Rahman bin Nik Mat. Keempat-empat mereka ini, sebelum daripada ini sudah pun belajar ugama di Sekolah Jamek Ma’had Muhammadi, disurau-surau dan di Masjid Besar Muhammadi.
[8] Nik Muhdyden sekarang dikenali dengan nama Hj Nik Muhdyden. Beliau ialah bekas Pengetua Kolej Islam Kelang Selangor dan sekarang menjawat jawatan Pengarah Bahagian Pelajaran Ugama di Kementerian Pelajaran Malaysia. Selepas beliau berhenti belajar, ugama kepada Hj Nik Muhd Salleh, beliau pergi melanjutkan pelajaran ugama ke Al Azhar Universiti.
[9] Keluarga Tengku Sri Wangsa ialah salah satu keluarga diraja yang terkemuka di Negeri Kelantan pada masa itu. Terkemukanya keluarga ini ialah kerana kekayaannya. Keluarga ini asalnya datang daripada keturunan Long Yunus iaitu pengasas pemerintahan Dinasti Keturunan Long Yunus di Negeri Kelantan.
[10] Kenyataan-kenyataan tentang pujian Sultan Ibrahim terhadap kebolehan Hj Nik Muhd Salleh ini penulis hanya dapat menerusi temuramah dengan Hj Nik Mahmud bin Hj Wan Musa pada 21/3/74. Hj Nik Mahmud pernah menjadi guru ugama kepada Sultan Ibrahim didalam tahun-tahun 1950han.
[11] Untuk melihat kandungan kitab ini, sila lihat Al Haji Nik Muhd Salleh bin Al Marhum Al Haji Wan Musa Kelantan, Filsafah Rumah Tangga, Mustapha Press, Kota Bharu, Kelantan, 1949
[12] Encik Yussof Zaki bin Hj Yaakub yang sekarang terkenal di Negeri Kelantan dengan nama Ustaz Yussof Zaki Yaakub ialah seorang yang cergas didalam bidang penulisan makalah-makalah yang berthemakan saikoloji, ugama dan sejarah. Penulisan-penulisan beliau ini dapat dilihat didalam majallah Dian dan Pengasuh Cetakan dan keluaran Pustaka Dian Press Kota Bharu. Beliau selepas berhenti belajar daripada Hj Nik Muhd Salleh pergi melanjutkan pelajarannya ke American University of Cairo di Mesir
[13] Nik Abdul Aziz bin Hj Nik Mat Jembar yang sekarang terkenal dengan nama Hj Nik Abdul Aziz bin Hj Nik Mat ialah seorang ulamak yang terkenal di negeri Kelantan sekarang ini. Beliau mendapat pendidikan ugama di Darul Ulum Deoband India dan seterusnya di Universiti Al Azhar Mesir sehingga sampai keperingkat Sarjana(MA). Beliau ialah ketua Dewan Ulamak Partai Persatuan Islam Malaysia (PAS) mulai pada tahun 1965 sehingga sekarang ini
[14] Hj Nik Yussof bin Hj Nik Mat ialah bekas seorang penghulu di Kampung Jaya, Kota Bharu. Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1960han. Beliau ialah bapa saudara kepada penulis
[15] Wan Mahmud bin Hj Wan Muhammad ialah sepupu kepada Hj Nik Muhd Salleh. Beliau tinggal di Lorong Tok Semian Kota Bharu dan meninggal dunia pada penghujung tahun 1940han
[16] Majlis Ulamak ialah suatu majlis yangditubuhkan oleh M.U.I.A.I.M.K. dengan bertujuan untuk menjaga hal ehwal pengajaran ugama Islam di Negeri Kelantan supaya tidak terpesong daripada ajaran ugama yang sebenarnya. Kesemua ahli-ahli yang dipilih untuk meng-anggotaai Majlis itu terdiri daripada ulamak-ulamak. Diantara mereka-mereka yang menganggotai Majlis Ulamak pada masa itu ialah Hj Ahmad bin Hj Ismail (selaku Pengerusi), Hj Nik Adeeb bin Hj Nik Ahmad (selaku Naib Pengerusi), Hj Nik Abdul Rahman bin Hj Nik Yaakub (selaku Setiausaha), Hj Nik Abdul Rahman bin Hj Nik Wan Abdullah, Hj Abdullah Tahir bin Hj Ahmad dan Hj Nor bin Hj Ibrahim
[17] Temuramah penulis dengan Hj Yahya bin Ali pada 5/2/73
[18] Temuramah penulis dengan Hj Yahya bin Ali pada 5/2/73